Saturday, April 16, 2011

Tugasan 3


KOMEN TERHADAP SUBJEK PENGANTAR PENULISAN


Setelah selama satu semester saya berada di dalam kelas Pengantar Penulisan di bawah pengelolaan En. Nasrol Hadi, saya mendapati terlalu banyak ilmu yang saya peroleh mengenai bahasa kebangsaan kita, iaitu Bahasa Melayu. Pada pandangan saya, subjek ini seharusnya menjadi subjek wajib kepada semua pelajar Universiti Utara Malaysia kerana melalui subjek inilah para pelajar dapat memperbaiki dan mempelajari dengan lebih mendalam mengenai Bahasa Melayu yang kini nampak jelas ditelan oleh arus pemodenan. Malahan, dengan permintaan yang tinggi terhadap keperluan bahasa asing seperti Bahasa Inggeris sedikit sebanyak telah menghakis penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan harian.

Subjek Pengantar Penulisan juga telah banyak memberi pendedahan kepada saya tentang kekhilafan penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan harian yang mana kita semua sering menganggapnya perkara yang remeh dan tidak penting. Walaupun penggunaan bahasa asing menjadi bahasa yang penting dalam arus pemodenan, kita tidak harus melupakan bahasa kebangsaan kita kerana Bahasa Melayu adalah satu-satunya identiti penduduk Malaysia. Tak luput dek hujan, tak lekang dek panas. Semoga penggunaan Bahasa Melayu terus berkembang dan tidak dilupakan oleh generasi modal insan.