Saturday, April 16, 2011

Tugasan 3


KOMEN TERHADAP SUBJEK PENGANTAR PENULISAN


Setelah selama satu semester saya berada di dalam kelas Pengantar Penulisan di bawah pengelolaan En. Nasrol Hadi, saya mendapati terlalu banyak ilmu yang saya peroleh mengenai bahasa kebangsaan kita, iaitu Bahasa Melayu. Pada pandangan saya, subjek ini seharusnya menjadi subjek wajib kepada semua pelajar Universiti Utara Malaysia kerana melalui subjek inilah para pelajar dapat memperbaiki dan mempelajari dengan lebih mendalam mengenai Bahasa Melayu yang kini nampak jelas ditelan oleh arus pemodenan. Malahan, dengan permintaan yang tinggi terhadap keperluan bahasa asing seperti Bahasa Inggeris sedikit sebanyak telah menghakis penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan harian.

Subjek Pengantar Penulisan juga telah banyak memberi pendedahan kepada saya tentang kekhilafan penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan harian yang mana kita semua sering menganggapnya perkara yang remeh dan tidak penting. Walaupun penggunaan bahasa asing menjadi bahasa yang penting dalam arus pemodenan, kita tidak harus melupakan bahasa kebangsaan kita kerana Bahasa Melayu adalah satu-satunya identiti penduduk Malaysia. Tak luput dek hujan, tak lekang dek panas. Semoga penggunaan Bahasa Melayu terus berkembang dan tidak dilupakan oleh generasi modal insan.

Sunday, March 13, 2011

Tugasan 2

ANUGERAH TERINDAH AKU

Tiada apa yang dapat melupakanmu
Tiada apa yang dapat meluputkanmu
Sejuta bintang di langit
Jika dikurniakan kepadaku
Juga tidak mampu membuatku
Melupakanmu

Begitu aku merindukanmu

Bayanganmu sentiasa menari nari di ruang mindaku
Bayanganmu sentiasa menerjah di ruang mindaku
Bayanganmu sentiasa menerpa di ruang mindaku

Kau mampu melupuskannya?

Rasanya lain
Perasaannya lain
Bertentang mata denganmu
Atau hanya mendengar suaramu di corong telefon

Wahai rumah
Dan seluruh isinya
Ketahuilah bahawa aku merinduimu









Ciri-ciri Penulisan Kreatif:

1. Asonansi (perulangan huruf vokal yang sama)

Contoh: Tiada apa yang dapat

2. Anafora ( gaya bahasa perulangan kata pertama pada setiap baris)

Contoh: Tiada apa yang dapat melupakanmu
Tiada apa yang dapat meluputkanmu

Bayanganmu sentiasa menari nari di ruang mindaku
Bayanganmu sentiasa menerjah di ruang mindaku
Bayanganmu sentiasa menerpa di ruang mindaku

3. Epistfora (gaya bahasa perulangan kata atau frasa pada akhir baris)

Contoh: Bayanganmu sentiasa menari nari di ruang mindaku
Bayanganmu sentiasa menerjah di ruang mindaku
Bayanganmu sentiasa menerpa di ruang mindaku


4. Erotesis (bentuk pertanyaan yang digunakan untuk tujuan gaya)

Contoh: Kau mampu melupuskannya?


Saturday, February 19, 2011

Tugasan 1

Soalan 1

Apakah kepentingan memahami peraturan berbahasa dalam menulis?

Memahami peraturan berbahasa dalam menulis adalah sangat penting kerana ia dapat menunjukkan identiti dan status seseorang itu. Jika peraturan berbahasa tidak dipatuhi, orang ramai akan memandang rendah terhadap status dan identiti penulis. Malahan, jika peraturan berbahasa tidak dipatuhi, pembaca mungkin akan menganggap apa yang ditulis oleh penulis adalah tidak penting dan sekadar main-main sahaja.

Soalan 2

Perlukah kesemua genre penulisan mamatuhi peraturan berbahasa?

Pada pendapat saya, hanya penulisan tertentu sahaja yang perlu mematuhi peraturan berbahasa. Sebagai contoh, apa jua penulisan yang berbentuk formal haruslah mematuhi peraturan berbahasa. Penulisan berbentuk tidak formal seperti sistem pesanan ringkas dan berbalas komen di laman sosial tidak perlu mematuhi peraturan berbahasa. Hal ini adalah kerana ia akan mewujudkan jurang antara penulis. Oleh yang demikian, adalah sangat penting bagi seseorang penulis untuk mengklasifikasikan antara penulisan formal dan tidak formal.

Soalan 3

Adakah bahan-bahan penulisan kini mematuhi peraturan berbahasa?

Bahan-bahan penulisan seperti majalah kini dilihat kurang mematuhi peraturan berbahasa. Hal ini mungkin kerana gaya bahasa pada masa kini lebih bercorak santai dan penulis mahukan pembaca untuk lebih tenang dan santai ketika membaca tanpa menjadikan bahan bacaan itu sesuatu yang sarat. Namun begitu, bahan bacaan seperti akhbar dan artikel masih lagi mematuhi peraturan berbahasa .